Tuesday, 6 March 2012

Assignment: EKONOMI : Analisa KDNK 2001-2010

Analisa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2000-2010

Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK merupakan  salah satu cara untuk mengukur ekonomi sesebuah negara. Apa yang boleh dilihat secara terus melalui KDNK ini adalah  nilai keseluruhan pasaran, barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh negara untuk satu-satu tempoh tertentu yang telah ditetapkan.

 KDNK ditafsirkan mengikut nilai-nilai wang yang terhasil dalam pergerakkan ekonomi sesebuah negara. Biasanya KDNK akan dikelaskan mengikut beberapa pecahan tertentu  yang harus mempunyai penilaian yang sama terhadap tiga aspek utama, Pendekatan Produk (atau keluaran), Pendekatan Pendapatan (income approach) dan Pendekatan Perbelanjaan (expenditure approach). Di mana penggunaan adalah merangkumi perbelanjaan isi rumah tangga; pelaburan kasar oleh sektor industri; perbelanjaan awam oleh kerajaan; dan eksport dan import melibatkan sektor luar negeri serta , sewa yang merupakan pendapatan pemilik untuk faktor pengeluaran tetap seperti tanah; upah untuk tenaga kerja; bunga untuk pemilik modal; dan keuntungan untuk pengusaha. 


Berdasarkan keterangan dalam teks pembelajaran ,
KDNK dihitung dengan menjumlahkan semua nilai keluaran yang dikeluarkan oleh semua faktor pengeluaran yang terdapat di dalam negara tetapi tidak mengambil kira nilai keluaran yang dihasilkan oleh faktor rakyat tempatan di luar negara (KNK).

KDNK menghitung nilai output yang dihasilkan oleh faktor pengeluaran dalam negara bagi jangka masa setahun, tanpa mengira samada faktor tersebut adalah milikan negara atau milik negara asing. KDNK mengambil kira nilai sumbangan keluaran faktor tempatan dan faktor asing di dalam negara.

Analisa KDNK bermula tahun 2000 sehingga 2010.

Bermula tahun 2000 , sektor Perkhidmatan merupakan  sektor yang paling banyak menyumbang dalam KDNK, ia menyumbang sebanyak 53.9% (RM113,408 juta) kepada KDNK pada tahun 2000, dan  terus mengukuh 58.1% (RM152,205 juta) pada tahun 2005 dan sumbangannya diunjurkan meningkat kepada 59.2% (RM208,086 juta) pada tahun 2010. Dalam pergerakkan ekonomi sekitar tahun  2000 hingga ke tahun 2005 kita dapat menyaksikan perbezaan peratusan KDNK yang sangat baik dengan perbezaan lebih kurang 5% untuk tempoh 5 tahun dengan  nisbah peningkatan setiap 1% setahun memberikan satu impak positif terhadap sektor perkhidmatan di dalam negara.  Namun pada sekitar 2008 dan 2009 sektor perkhidmatan telah mencatatkan sedikit kemerosotan pada suku pertama terutama pada bidang berkaitan perkilangan dan perdagangan namun menjadi bertambah baik pada suku kedua disumbangkan oleh sektor perkhidmatan yang melibatkan aktiviti ekonomi dalam negeri, sektor kewangan serta pasaran modal.
Sektor pembuatan, yang merupakan jentera pertumbuhan kedua, menyumbang sebanyak 31.9% (RM67,250 juta) pada tahun 2000, dan menyusut kepada 31.4% (RM82,394 juta) pada tahun 2005 dan diunjurkan kembali mengukuh 32.4% (RM113,717 juta) pada tahun 2010 .
Disini terdapat beberapa faktor ketidakstabilan pasaran dalam sektor pembuatan yang menyaksikan penurunan 0.5% . Ianya mula pulih semula apabila permintaan dan penawaran dalam pasaran meningkat semula pada tahun 2008 sehingga 2009, dimana sektor pembuatan pulih dan mencatatkan keputusan positif pada suku keempat berikutan pemulihan dalam permintaan luar. Sektor pembinaan pula kekal positif disebabkan oleh projek berkaitan pembinaan dibawah Rancangan Malaysia Ke – 9 (RMK9)
Sektor pertanian, jentera ketiga KDNK, hanya menyumbang 8.9% (RM18,662 juta) pada tahun 2000, menyusut 8.2% (RM21,585 juta) pada tahun 2005 dan disasarkan menguncup 7.8% (RM27,518 juta) pada tahun 2010. Namun pada sekitar 2008 dan 2009 , sektor pertanian telah disokong oleh pengeluaran minyak sawit serta pengeluaran bahan perikanan dan penternakan yang lebih tinggi. Namun pada separuh tahun kedua, semua sektor ekonomi terjejas akibat kemerosotan global dan pembetulan harga terhadap pasaran komoditi. Walau bagaimanapun, dari segi nilai tambah, ketiga-tiga sektor mencatatkan peningkatan bagi tempoh 2000 – 2010. Adalah jelas peratus sumbangan sektor perkhidmatan dan pembuatan meningkat pada tahun 2010 sedangkan peratus sumbangan sektor pertanian kepada KDNK bukan sahaja menyusut pada tahun yang sama malah nilainya jauh lebih kecil.

Berikut disertakan beberapa gambarajah mengenai KDNK di dalam semua sektor yang terlibat mengikut laporan yang telah di keluarkan oleh Bank Negara :

                                             GRAF BERMULA TAHUN 2006 - 2010

                                                     GRAF BERMULA 2002 - 2004

Awal tahun 2002 sehingga 2004 menyaksikan turun naik ekonomi negara akibat ketidaktentuan pasaran semasa. Awal tahun 2003 menyaksikan pertumbuhan ekonomi telah melebihi unjuran awal yang dijangka. Namun pada ketika itu, berlaku sedikit naik turun dalam pasaran akibat dunia dikejutkan dengan kehadiran wabak SARS. Namun ia tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan Graf KDNK Benar pada awal 2003. Ekonomi mula pesat pada separuh tahun kedua dengan memberi impak yang agak baik pada KDNK kerana wabak SARS sudah mula berkurangan pada pertengahan 2003. Kebimbangan terhadap SARS juga berjaya dibendung pada peringkat global. Pakej Rangsangan yang dirancang dilihat tepat dengan didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi, khususnya pada pengeluaran minyak sawit dan getah.

Sektor perlombongan mengembang sewaktu keadaan dalam dan luar negeri terus kukuh. Ini adalah kerana ketika itu berlaku peningkatan kapasiti terhadap pengeluara serta permintaan terhadap minyak dan gas. Sektor pembinaan pula dilihat mengembang dengan sederhana sahaja kerana pertumbuhan subsektor kejuruteraan awam yang perlahan berikutan siapnya beberapa projek yang telah di swastakan.
Sepanjang 2003 sehingga 2004 pertumbuhan KDNK banyak dipengaruhi sumbangan oleh swasta yang telah menyumbang sebanyak 5.2%. Sektor isi rumah dan korporat pula mendapat faedah daripada peningkatan pendapatan boleh guna dan permintaan luar negeri yang semakin mengukuh.
Rajah KDNK 2002 sehingga 2004

Sekitar 2006 ekonomi Malaysia dilihat terus meningkat dan lebih berdaya tahan kerana kedudukan KDNK benar telah meningkat 5.9% lebih tinggi dari pertumbuhan 5.2% tahun lalu (2005) . Swasta sekali lagi menjadi penyumbang terbesar dalam perkembangan ekonomi semasa dengan meningkatnya permintaan terhadap eksport untuk bahan elektronik dan komoditi. Tahun 2006 telah menyaksikan permintaan dalam negeri agregat terus bertambah kukuh sebanyak 7.4%. Pelaburan swasta juga terus bertambah kukuh akibat didorong oleh perbelanjaan modal yang ketara dalam semua subsektor utama.   
Tahun 2007 pula menyaksikan persekitaran ekonomi negara terus mengukuh dalam setiap bidang kecuali persekitaran ekonomi yang dilaporkan agak lemah dan perlahan. Namun dalam masa yang sama KDNK benar meningkat dengan lebih banyak iaitu sebanyak 6.3% dan terus di perteguh dengan peningkatan perbelanjaan sektor awam. Sektor awam telah menerima pelarasan gaji yang menaik dari semua peringkat sekaligus memperkukuh penggunaan pada separuh tahun kedua. Permintaan dalam negeri agregat juga terus meningkat dengan kukuh sebanyak 10.5% pada 2007 dan sekali lagi sektor swasta masih memainkan peranan utama.

KDNK pada 2008 pula dilihat agak merosot disebabkan kemerosotan pasaran kewangan dunia dan krisis ekonomi antarabangsa telah menyebabkan KDNK menguncup kepada 4.6 % sahaja. Walaupun permintaan luar negeri kukuh pada separuh tahun pertama, keadaan ekonomi global yang merosot dengan mendadak dan pembetulan dalam harga komoditi telah  mendorong kepada kemerosotan yang ketara dalam permintaan luar negeri pada separuh kedua tahun 2008,  permintaan dalam negeri agregat  berkembang 6.9%, disokong oleh penggunaan swasta dan perbelanjaan awam yang kukuh. Harga komoditi yang tinggi, guna tenaga yang stabil dan persekitaran pembiayaan yang kondusif telah mengekalkan pertumbuhan yang kukuh dalam penggunaan swasta pada separuh tahun pertama. Pertumbuhan turut disokong oleh pembayaran bonus untuk kakitangan awam dan rebat tunai bagi subsidi bahan api pada separuh tahun kedua.

Untuk tahun 2009 dan 2010 menyaksikan naik turun graf yang agak tidak stabil dipengaruhi ketidak tentuan harga komoditi dan kejatuhan ekonomi Amerika. Kemerosotan yang berlaku telah menyebabkan penguncupan yang ketara pada ekonomi Malaysia dan ianya telah merosot sebanyak 1.7% pada separuh tahun pertama. Kerajaan lantas memulakan perlaksanaan langkah rangsangan fiskal yang pantas dan pelonggaran dasar monetari . Hasilnya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia telah meningkat pada suku keempat dengan peningkatan 4.5% akibat dari peningkatan semula hasil sokongan permintaan dalam dan luar negeri.  

Bagi tahun 2010 , kerajaan terus mengorak langkah dengan pemulihan semula sejajar dengan beberapa pemulihan ekonomi global. Pertumbuhan ekonomi dilihat berlaku dengan pantas namun menghadapi saat sukar kerana cabaran berlaku terhadap aliran turun naik modal dan tekanan inflasi yang semakin meningkat. Peningkatan sebanyak 7.2% , dipacu oleh sektor swasta serta sektor awam yang juga turut menyumbang kerana perlaksanaan program penambahbaikan infrastuktur negara dan sistem penyampaian sektor awam yang berterusan. Sebaris dengan peningkatan itu juga, negara menyaksikan permintaan luar negeri meningkat semula dengan lebih kukuh yang mana ia turut disokong oleh permintaan luar negeri yang kukuh walaupun masih bersifat sederhana.



Sumbangan Sektor Swasta terhadap pertumbuhan KDNK negara.

Sumbangan sektor swasta telah banyak membantu dalam meningkatkan ekonomi negara. Peranan swasta dilihat sebagai penyumbang terbesar terhadap pembangunan ekonomi negara. Penggunaan Swasta telah meningkat dan memberi impak besar dan menjadi komponen utama apabila ia meningkat pada purata tahunan 7.4% utk tempoh antara tahun 2000 sehingga 2009. Ianya sekaligus melepasi pertumbuhan purata KDNK sebanyak 48% , sekaligus menjadikan bahagian penggunaan swasta benar dalam KDNK meningkat stabil sebanyak 43.8%  bagi tahun 2000 dan 53.5% pada 2009 dan terus meningkat pada suku pertama 2010.
 
 Secara keseluruhannya, Malaysia telah mengalami kadar pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam lingkungan 5 - 6% dan hasilnya, pendapatan isi rumah terus meningkat pada kadar purata 5% setiap tahun dalam keadaan pasaran kerja yang baik, dengan kadar pengangguran yang rendah. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dan telah bertambah dari RM15,169 pada tahun 2000 kepada RM27,113 pada tahun 2010. Peningkatan paras pendapatan ini telah meningkatkan taraf hidup serta menaiktaraf kapasiti para pengguna terhadap permintaan untuk barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi. Peningkatan taraf kehidupan pengguna juga telah mendorong ke arah penggunaan swasta (private consumption), yang pada waktu ini menjadi salah satu faktor utama kepada pertumbuhan ekonomi negara kita.

Sebagai contoh, pada tahun 2003, pertumbuhan KDNK diterajui oleh sektor swasta. Perbelanjaan swasta menyumbang 2.5 mata peratusan daripada kadar pertumbuhan sebanyak 5.2%.   Sektor isi rumah dan korporat mendapat faedah daripada peningkatan pendapatan boleh guna, terma perdagangan yang bertambah  baik dan permintaan luar negeri yang semakin kukuh. Hasil daripada pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, terutamanya isi rumah, penggunaan sektor swasta meningkat 5.1%. Di samping itu, kadar faedah yang rendah berserta kadar tabungan yang tinggi mendorong sektor isi rumah meningkatkan pinjaman  mereka bagi perbelanjaan penggunaan. Langkah-langkah yang dilaksanakan di bawah Pakej Ekonomi pada bulan Mei meningkatkan keyakinan pengguna, seterusnya menyokong perbelanjaan penggunaan.
Kesimpulan.
Rumusan serta kesimpulan yang dapat dibuat melalui analisa ini ialah tentang pertumbuhan KDNK semasa yang kekal stabil walaupun negara berdepan dengan pelbagai krisis dan ekonomi dari dalam dan luar negara. Sumbangan swasta yang berterusan serta pengurusan ekonomi yang baik serta pengawalan oleh Bank Negara menerusi kerajaan sedikit sebanyak menyumbang kepada faktor kestabilan ekonomi semasa. Cabaran global yang kelak perlu di hadapi kerajaan ialah apabila kita berdepan dengan krisis bakal kehabisan sumber utama seperti minyak. Ekonomi dilihat harus terus dijana oleh sektor lain selain dari sumber minyak. Kenaikkan harga komoditi seperti getah sekitar tahun 2009 – 2010 sedikit sebanyak dapat memberi impak yang lebih positif kepada pertumbuhan ekonomi semasa. Dengan pengumaman kerajaan terhadap KDNK semasa bagi tahun 2011 , sebanyak 5.2%, ia sekaligus membuktikan kestabilan graf politik negara terus kekal baik meskipun berhadapan dengan cabaran global Krisis Ekonomi Amerika dan Krisis Hutang di Eropah. 

p/s: semua graf boleh diperolehi di laman web Bank Negara Malaysia melalui search engine 

1 comment:

Fatin Nazira said...

Search engine tu siapa ya?