Monday, 11 February 2013

Konsep Negara Islam Tokoh Ilmuan Terkenal Al-Mawardi dan Al-Maududi


 Huraian konsep dan bentuk negara seperti yang dibayangkan Abu Hassan Al-Mawardi  dan Abu Alam Al-Maududi.


Pengenalan
Konsep negara yang diperkenalkan oleh kedua-dua tokoh ilmuan islam Abu Hassan Al-Mawardi dan Abu Alam Al-Maududi  merupakan antara konsep negara yang seringkali dijadikan bahan rujukan kajian oleh universiti di dunia. Sebagai tokoh ilmuan islam keduanya menerapkan konsep politik islam dan konsep negara islam dalam kajian mereka. Sebagai seorang pemikir Al-Mawardi dilantik sebagai seorang penasihat politik sewaktu kerajaan Khalifah Abassiyah sementara Al-Maududi pula merupakan seorang penulis tersohor yang terkenal pada zamanya. Karya beliau sentiasa diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan selain menjalani kehidupan sebagai seorang penulis tetap kepada beberapa khalifah yang menganggap tulisanya merupakan ilmu yang sangat tinggi yang telah digunakkan oleh kerajaan sezamanya.
Negara dalam islam di sebut sebagai Al-Daulah , bermaksud ‘Lahir dari perkembangan sebuah peradaban’. Al-Mawardi telah menzahirkan karya politiknya di dalam al-Ahkam al-Sultaniyah yang membahas cara pelantikan pemimpin termasuk ketua negara, para menteri, gabenor, panglima tentera, jihad, jawatan hakim, imam masjid dan pentadbirannya, pengumpulan zakat dan pengagihannya dan lain-lain secara terperinci. Beliau adalah ulama’ terkemuka dari Mazhab Syafie. Beliau telah memegang tampuk kehakiman di banyak negeri. Beliau juga dikatakan mempunyai kedudukan tinggi di sisi sultan dan amat berpegang teguh kepada agama dan seorang yang disifatkan bertaqwa (taat pada agama)

Kitabnya Ahkam As-Sultaniyah (undang-undang kesultanan) dianggap pengajian ilmiah ulung dalam pengkajian asal-usul pentadbiran kerajaan Islam. Kitab ini menyentuh tajuk-tajuk yang dikaji oleh penulis-penulis pentadbiran umum yang moden. Al-Marwadi telah membuat pengkajian mengenai kepimpinan yang dikenali dalam negara Islam sebagai al-Imamah. Beliau juga membincangkan mengenai kementerian, dewan dan bahagian-bahagiannya. Dalam kitab tersebut beliau turut membincangkan wizarah (jawatan menteri), imarah (gabenor/ketua), kehakiman, wilayah al-Mazalim (mahkamah penganiayaan) dan lain-lain.

 Al-Maududi pula lahir dari keluarga terpelajar dan terhormat. Beliau menemukan kebesaran risalah Islam, dan berpendapat hanya Islam yang memiliki ajaran sempurna yang dapat membahagiakan manusia dalam menghadapi kehidupan. Al-Maududi memerangi fahaman nasionalisme dj India, sebab fahaman ini telah tersebar di kalangan kaum Muslimin yang diseru untuk bergabung dengan warga Hindu sebangsa dan setanah air dalam satu perjuangan untuk mengusir penjajah dari bumi India. Al-Maududi menjelaskan wujud bahaya fahaman ini kerana bagi beliau orang-orang Hindu dan Britain menurutnya sama sahaja. Kedua-duanya memerangi Islam dan bekerja untuk menghancurkan kaum Muslimin. la juga menjelaskan bahawa slogan mereka yang mengatakan bahawa bangsa berdiri di atas asas kesamaan tanah air, hanyalah bersifat retorik dan dianggap salah satu cara untuk menundukkan umat Islam agar dapat dijatuhkan.




Pendapat Al-Mawardi tentang Konsep Negara dan Corak Pemerintahan

Al-Marwadi menyatakan kewajipan seorang Imam (pemimpin) adalah dari segi hal agama, ketenteraan, kehakiman, pentadbiran dan kewangan. Di antara kewajipan pentadbiran ialah melantik orang yang layak dan amanah dan sebagainya lagi.

Menurut al-Mawardi dalam kitabnya Ahkam al-Sultaniyah. 2000: 14, menyatakan terdapat tujuh kriteria yang perlu ada pada seorang pemimpin, iaitu bersikap adil dalam segala hal, mempunyai ilmu yang membolehkan dia berijtihad (menetapkan suatu hal atau berpendapat) dalam persoalan hukum hakam dan peristiwa yang berlaku. Selain itu sempurna dari segi pancaindera iaitu elok pendengaranya, penglihatanya dan percakapanya, selamat tubuh badanya dari kekurangan yang menghalang pergerakannya. Malah setiap pemimpin yang  baik haruslah mempunyai pengetahuan tentang pentadbiran dan siasah rakyat, bersifat berani dan tegas dalam membolehkan dia mempertahankan negara dan melakukan jihad (peperangan/perjuangan di jalan Allah menurut pandangan Islam) ke atas musuh serta hanya yang berketurunan Quraisy sahaja layak dilantik (menurut pandangan yang sesuai dengan zamannya

Al-Marwadi memberi penekanan bahawa lembaga pemilih (ahlu al-hal wa al-‘aqd) mestilah membuat pilihan berdasarkan “lebih baik lebih layak” menurut keadaan semasa. Imam yang dipilih ini dipertanggungjawabkan sepuluh tugas seperti menjaga agama supaya selamat dari penyelewengan dan penjenayah hendaklah dikenakan hukuman berasaskan pegangan islam seperti (hudud dan ta’zir) sekiranya melakukan kesalahan. Selain itu perlunya melaksanakan hukuman ke atas perbalahan dan menyelesaikan pertikaian supaya tidak ada orang yang menzalimi dan orang yang teraniaya dan yang ketiga ialah mengawal sempadan negara supaya negara dan rakyat terjamin keselamatannya. Selain itu bertanggungjawab mengawal keselamatan negara serta melaksanakan hukum hudud supaya larangan Allah tidak dicabul dan supaya terkawal hak dan tingkah laku manusia.

 Imam yang dipilih juga disaran melakukan jihad sesudah berdakwah, mengutip cukai dan zakat yang diwajibkan oleh syarak, mengagihkan harta Baitulmal kepada orang yang berhak secara yang sesuai dan adil, melantik pegawai-pegawai yang amanah untuk menjalankan tugas pentadbiran dan menyelia sendiri keadaan ummah dan penjagaan ke atas agama.

Imam yang menjalankan tugas-tugas ini berhak ditaati oleh rakyat dan berhak dibantu. Dua hak ini akan hilang jika keadaan itu berubah iaitu apabila berlaku kecacatan dalam keadilannya seperti menjadi fasik kerana melakukan perkara mungkar. Adilnya juga menjadi cacat apabila ada sesuatu pemikiran atau mempercayai sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran (mentafsirkan sesuatu dengan cara yang bercanggah dengan kebenaran) serta Cacat anggota tubuh badannya.


Ada empat kategori tugas yang boleh ditentukan oleh Imam menurut pandangan Al-Mawardi iaitu perlu melantik pegawai untuk kerja-kerja umum tanpa dibataskan kepada sesuatu kerja seperti perlantikkan menteri-menteri (wuzara) yang diberi kuasa untuk menjalankan kesemua perkara. Tugas kedua pula ialah melantik pegawai untuk satu skop bidang kerja yang luas bagi satu kawasan sahaja, contohnya dengan perlantikan gabenor-gabenor (unmara’ al-aqalim) di setiap daerah , kemudianya melakukan perlantikan pegawai untuk kerja-kerja umum yang sesuai dengan  kawasan dan bidang yang diceburinya dan diletakkan dalam lingkungan terbatas atau terhad , contohnya seperti perlantikan ketua qadhi (kadi), ketua tentera dan pegawai untuk mengutip cukai serta zakat juga beberapa perlantikan pegawai untuk kerja-kerja khas dan dalam kawasan yang terbatas atau yang sudah ditentukan.
Contohnya, seperti perlantikan qadhi atau pengutip cukai untuk satu daerah yang 
tertentu. (terdapat dua jenis qadhi, yang akan diketuai ketua qadhi yang telah dilantik)

Perlantikan wazir adalah dibuat oleh imam. Perlantikannya bertujuan untuk membantu imam menjalankan tugasnya. Ini adalah kerana imam tidak berupaya melakukan semua kerja secara persendirian.Oleh kerana wazir menjalankan tugas imam maka seseorang yang akan dilantik menjadi wazir mestilah mempunyai syarat-syarat kelayakan calon imam, kecuali syarat tentang keturunan (nasab) dimana ia tidak semestinya seorang Quraisy. Selain dari itu, al-Mawardi juga meletakkan satu lagi syarat tambahan iaitu – hendaklah dia seorang yang berkemampuan untuk menjalankan tugas di dalam bidang di mana ia ditugaskan. Dengan keupayaan atau pengetahuan ini wazir tersebut dapat melantik pegawai-pegawai dalam bidang berkenaan yang sesuai dengan tugasnya.

Imam mempunyai kuasa mengawas wazir dalam pentadbiran dan melantik pegawai. Ini bertujuan supaya wazir tidak bersikap kuku besi. Di samping itu, imam mempunyai hak untuk menolak perbuatan-perbuatan wazir yang salah. Al-Mawardi membincangkan tentang dua jenis wazir iaitu, wazir tafwid dan wazir tanfiz. Beliau menjelaskan tugas mereka masing-masing, di samping menjelaskan juga tentang kuasa mereka mengenai tugas menteri secara umumnya dapat disimpulkan seperti melaksanakan perintah khalifah serta memastikan yang perintah itu tidak mempunyai kesalahan ketika dikeluarkan dan termaktub bahawa perlaksanaan hendaklah dijalankan segera. Selain itu perlu membuat keputusan-keputusan yang memberi faedah kepada negara khususnya selain mempunyai iltizam dengan keputusan keputusan yang dibuat supaya menjadi contoh kepada pegawai-pegawai lain.
Sebagai seorang muslim , Al-Mawardi menegaskan bahawa setiap wazir perlu menjauhkan kepentingan diri dalam menjalankan tugasnya mengikut apa yang telah diajar dan diasuh oleh Nabi Muhamamad yang berkata “pemerintah yang memperniagakan rakyatnya adalah merupakan pemerintah yang tidak adil” dan yang terakhir seorang wazir haruslah bersifat Wala’ (memberi kesetiaan) dan ikhlas dalam menjalankan perintah tuhan.

Dalam Qawanin al-Wuzara’, al-Marwadi meletakkan asas pentadbiran wazir ke atas beberapa asas yang berikut, iaitu mentadbir atas asas agama dan atas dasar al-haq (berpandukan kebenaran), mentadbir rakyat secara adil kerana pendapatnya , hanya keadilan sahaja yang dapat menarik ketaatan manusia kerana adil ini lazimnya hadir dalam pelbagai bentuk iaitu adil dalam pembahagian atau pemilikan harta, adil dalam percakapan iaitu bercakap sesuai dengan keadaan orang yang dicakapkan, adil dalam perbuatan iaitu menjatuhkan hukuman hanya keatas orang yang salah sahaja.
Selain itu asa wazir yang ditetapkan Al-Mawardi ialah dengan melantik orang yang berkelayakkan, mampu menunaikan janji (sama ada janji yang baik atau janji untuk mengenakan hukuman) selain senantiasa bertegas dalam mempertahankan haq dan bercakap benar
Dengan kesemua perkara yang dijelaskan maka jelaslah bahawa al-Mawardi amat menitik beratkan soal pemilihan dan perlantikan pemimpin dalam sesebuah kepimpinan. Ini adalah kerana pemimpin yang menepati kriteria-kriteria sahaja akan dilantik adalah untuk memastikan mereka dapat menjalakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,amanah, bertanggungjawab dan ikhlas dan untuk memastikan tercapai matlamat sebenar kepimpinan Islam.

Pendapat Al-Maududi tentang Konsep Negara dan Corak Pemerintahan

AI-Maududi memerangi kelompok pengagum peradaban Barat. Bagi beliau peradaban barat bersifat berat sebelah. Ia mencurahkan perhatian besar pada pembahasan mengenai nilai-nilai peradaban Barat dalam bidang ekonomi, sosial dan politik, lalu menjelaskan bagaimana keunggulan Islam dari berbagai sudutnya agar ianya  dapat mengembalikan kepercayaan diri kaum Muslimin pada agama mereka serta, mempunyai rasa bangga pada identiti yang mereka miliki serta dapat mengambil manfaat dari segi positif peradaban Barat dan membuang yang negatif.

AI-Maududi telah mendirikan Jama'ati islami sebagai satu organisasi Islam di mana ia menjadi ketuanya. Dia mengalami apa yang juga dialami para sahabat  lainnya dalam melaksanakan misinya; penjara, pengusiran, tekanan penguasa, fitnah dan persekongkolan dari musuh-musuh Islam, serta tuduhan keji dari kalangan kaum Muslimin yang tidak memahami misinya. Karya politik penjajah Britain yang pertama diciptakan di India adalah Parti Kongres yang mulai menyeru umat Islam dan Hindu serta golongan lainnya untuk menyatukan visi politik. dengan mengangkat Nasionalisme India sebagai dasar pandangan bagi bangsa India secara keseluruhan.

 Al-Maududi menyedari ideologi ini hanya memberi keuntungan bagi golongan tertentu sahaja dan akan menjadikan kaum Muslimin sebagai golongan kelas dua di bawah pemerintahan ini. Setelah beliau mula bergerak ke Pakistan untuk menyebarkan fahamanya, Al-Maududi kemudianya telah mengambil peluang ini untuk membentangkan kertas kerjanya melalui sebuah pidato yang dibuat khas untuk menerangkan tentang konsep negara islam yang diperjuangkanya.

Dalam pidato itu Al-Maududi menerangkan bahawa Negara Islam adalah negara ideologi dan mengandungi isi lebih daripada sekadar formaliti dan bentuk luaran. Maka bagi Al Maududi dan sahabat – sahabat seperjuangannya kini merasa senang hidup di bawah negara mereka (Pakistan) yang mempunyai sistem sendiri dan menyusun hukum dan undang-undang Islam yang merupakan kandungan hakiki dari negara Islam. AI-Maududi menegaskan hak ini dalam pidatonya yang ia sampaikan dalam sebuah perhimpunan umum di Karachi pada Mac 1948. Beliau menyebutkan bahawa : “Pakistan adalah milik Allah dan pemerintah Pakistan harus menggunakan sistem negara dengan yang diredhai oleh Allah”. Selain itu beliau menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang yang bertentangan dengan syari'at masih berjalan di negeri ini (Pakistan). Oleh sebab itu pelaksanaan ini harus segera dihentikan dan tidak dibenarkan membuat undang-undang terpisah yang bertentangan dengan syari'at Islam dan
pemerintah Pakistan harus membuat batas kekuasaannya sesuai dengan batasan-batasan syari'at.

Corak pemikiran yang dibentang oleh Al-Maududi dianggap agak ekstremis bagi sesetengah pihak. Kelantangan Al-Maududi dedifinasikan sebagai satu bentuk ancaman bagi sesetengah pihak. Namun bagi Al-Maududi adalah penting untuk menjelaskan bahawa konsep negara islam yang dibawanya perlu mengikut ajaran sunnah dimana beliau menafsirkan bahawa negara itu milik Allah. (Tuhan bagi orang islam)

Al-Maududi mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah. Allah yang menentukan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Menurut beliau lagi negara Islam adalah bercorak theo-democracy (teokrasi) yang tergabung di dalamnya autoriti mutlak pada Allah dan penyerahan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam perlaksanaan urusan negara yang diakui oleh syarak

Pegangan Al-Maududi pada ilmu Tauhid yang agak radikal kurang disenangi para sarjana barat. Bagi mereka apa yang diketengahkan Maududi adalah salah satu contoh bagaimana konsep negara islam itu menjadi sesuatu yang ekstremis. Maka dengan itu agak sukar sebenarnya untuk mencari spesifikasi yang jelas tentang Al-Maududi dan karyanya, ini kerana tidak banyak kajian yang dilakukan dalam mengetengahkan karya Al-Maududi yang sebenarnya bersifat simplify (memudahkan).

Bagi Al-Maududi konsep negara islam bukanlah berbentuk demokrasi. Demokrasi disifatkan Al-Maududi memberikan kuasa yang penuh ditangan rakyat sedangkan bagi Al-Maududi kuasa rakyat adalah sesuatu yang bersifat sekular. Jadi beliau mengetengahkan ideologi bersifat Theo-Demokrasi , (Teokrasi) dimana menurutnya negara islam harus mengagungkan kedaulatan tuhan dan kekhalifaan manusia yang lebih kepada elemen islam yang adil dan saksama kerana mengikut sunnah dan Al-Quraan. Bagi beliau kedaulatan terletak pada tuhan, bukan manusia. Kerana manusia Cuma menjalankan suruhan tuhan diatas muka bumi yang bersifat sementara.

Al-Maududi memandang tinggi negara islam yang mengamalkan corak pemerintahan berbentuk perlantikkan khalifah, baginya dia sangat tidak bersetuju dengan konsep pemerintahan beraja yang mewariskan kekuasaan secara turun temurun kerana ia dianggap mengekang kebebasan rakyat.

Antara stuktur pemerintahan yang dikehendaki oleh Al-Maududi mengandungi tiga jenis corak, iaitu A’mr (badan eksekutif), Al-Halli Wa al-aqdi (badan legislative) dan Qadha (badan kehakiman).
A’mr – Eksekutif adalah bertindak sebagai ketua negara yang mengamalkan prinsip pimpinan tertinggi yang bertanggungjawab kepada Allah serta rakyatnya. Dalam melaksanakan tugasnya pemerintah tertinggi akan kerap berkomunikasi dengan Majlis Syura untuk kelancaran perjalan sesebuah negara mengikut perintah tuhan.
Al-Halli Wa al-aqdi – Majlis Syura (Legislatif) -Bersifat  seperti Perwakilan Rakyat yang mana anggotanya dipilih melalui pemilihan yang dilantik secara adil. Dikenali sebagai kumpulan yang bertanggungjawab mengetengah dan mengeluarkan fatwa mengikut apa yang terkandung didalam Al-Quraan dan hadis. Dalam hal ini ianya bersifat sebagai badan penasihat dalam pentadbiran A’mr di dalam sesebuah negara.
Qadha – Lembaga Kehakiman - Dikenali sebagai Lembaga Kehakiman yang menjalankan keadilan jauh dari arahan lembaga eksekutif. Bersifat ‘berdiri sendiri’ dalam melaksanakan sistem Syariah dan Hudud menurut apa yang terkandung dalam Al-Quraan dan Sunnah. Tugasan mereka dianggap sebagai Pelaksana Hukum Allah.

Untuk menjaga kewujudan lembaga-lembaga diatas, maka Al-Maududi telah bertindak memberikan syarat untuk seseorang itu menjadi ketua negara. Antara yang terkandung dalam syaratnya ialah orang yang memegang jawatan mestilah beragama Islam, seorang lelaki, seorang yang telah dewasa, sihat dari segi fisikal dan mental dan seorang warganegara yang mengamalkan prinsip hidup yang baik dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam agama islam.
Dari segi Kewarganegaraan,  pendapat  Al-Maududi , Negara Islam haruslah dikelola oleh masyarakatnya yang mempercayai Islam serta menjunjung tinggi syariat islam itu sendiri. Islam menggariskan hanya dua jenis warga yang boleh menetap, ianya ialah warganegara muslim dan warganegara bukan muslim yang mampu menghormati penganut muslim sebagai majoriti.

Bagi penganut yang bukan muslim, mereka dijamin mendapat perlindungan negara serta hak dan kewajipan tertentu seperti beribadah mengikut apa yang dikehendaki agamanya. Dari segi hak melaksanakan amalan agama masing-masing mereka diberi hak untuk diselia oleh pemimpin-pemimpin agama mereka. Tetapi digariskan panduan yang lain bahawa dari segi kehidupan mereka tetap terikat dengan corak kehidupan islam secara majoriti.

Amalan Teokrasi Pemerintahan yang diseru Al-Maududi amat berbeza dengan corak Teokrasi yang diamalkan oleh pemerintah Eropah. Teokrasi di Eropah merupakan satu sistem dimana kekuasaan didalam negara dibahagikan mengikut kelas dan strata sosial masyarakatnya. Golongan pendetanya menyusun dan menggunakkan undang-undang yg dianggap dari tuhan tapi hukum dan panduan yang digariskan di sesuaikan dengan keinginan dan kepentingan golongan pemerintah.

Al-Maududi mempunyai tiga dasar keyakinan yang menyentuh tentang fahamanya mengenai kenegaraan menurut islam iaitu; Islam merupakan agama yang sempurna yang dilengkapi dengan petunjuk untuk mengatur segala frasa kehidupan termasuk politik. Oleh itu beliau menegas dan melarang sama sekali peniruan konsep negara barat. Kekuasaan dan kedaulatan Allah adalah hierarki tertinggi, sementara umat manusia hanya khalifah dimuka bumi yang di amanahkan untuk saling menjaga diantara mereka dan sistem politik islam dan konsep negara islam adalah satu sistem politik universal dan tidak mempunyai batas yang menghalangnya.

Kesimpulan dan Rumusan

Kesimpulannya, jelaslah bahawa perkataan pimpinan, pemimpin dan memimpin adalah membawa kepada erti perkataan kepimpinan. Maka kepimpinan Islam adalah satu bentuk interaksi kelompok atau proses interaksi antara seseorang individu dengan individu yang lain. Kepimpinan dalam Islam sifatnya adalah bersepadu, iaitu menitikberatkan keseimbangan di antara kepentingan roh dan jasad, perkembangan spiritual dengan pembangunan material, bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian, untuk mencapai matlamat hakikat kepimpinan Islam, maka dapat disimpul dari kepimpinan al-Mawardi dan al-Maududi, bahawa keduanya memberi perhatian yang serius kepada sifat-sifat peribadi calon untuk sesuatu jawatan, seperti amanah, mempunyai keupayaan, adil, berpegang teguh dengan agama dan lain-lain. Pemilihan pegawai atau kakitangan hendaklah sentiasa berdasarkan “lebih baik dan lebih layak”. Oleh itu, jika didapati seseorang yang lebih layak memegang jawatan maka pegawai yang sedang memegang jawatan yang kurang layak maka hendaklah diganti dengan calon yang lebih layak. Objektif kepimpinan Islam iaitu melaksanakan syariat Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah ke atas umat Islam dan menyebarkan dakwah Islamiyyah. Natijahnya kepimpinan seperti ini akan mencapai matlamat kepimpinan Islam yang utama ialah mencapai keredhaan Allah.

Politik merupakan perkara yang banyak diperdebatkan semenjak sekian lama. Kertas esei  ini menghuraikan pandangan jelas konsep negara yang diutarakan oleh para ilmuan islam seperti Al-Mawardi dan Al-Maududi. Ia sedikit sebanyak menjelaskan bahawa idea pembentukan sesebuah negara itu memiliki konsep yang berbeza mengikut fahaman masing-masing. Kajian terhadap apa yang telah diutarakan oleh dua tokoh terkemuka ini sedikit sebanyak menjelaskan tentang bentuk konsep pemikiran mereka. Sejarah pertumbuhan politik islam dari sejarahnya sendiri berasaskan apa yang dilakukan Nabi Muhammad sewaktu beliau berhijrah dari Makkah ke Madinah sekaligus membentuk sebuah negara yang berperlembagaan selain tersusun dengan kemas.

Namun dengan monopoli pemerintahan khalifah kemudianya telah menyebabkan kecacatan dari segi pemahaman ideologi tertentu serta corak pemikiran yang bercanggah dengan apa yang dianggap relevan sewaktu zaman Nabi Muhammad memerintah Madinah.
Corak dan gaya pemikiran kedua-dua tokoh pemikir islam ini juga berbeza diantara keduanya terutamanya dalam menghasilkan karya-karya agung yang membicarakan persoalan Islam dan pemerintahan.

Sebagai contoh, Imam ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi (w.450 H) telah menulis sebuah kitab yang amat bernilai iaitu kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (The Laws of Islamic Governance) dan Al-Maududi sendiri, antaranya’Al-Usus al-Akhlaqiyyah lil Harakah al Islamiyah’ yang banyak menjawab tohmahan yang dilemparkan puak pelampau yahudi dan nasrani selain beberapa tokoh ilmuan islam lain yang terkenal , antaranya adalah seperti Ibnu Khaldun yang terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Muqaddimah. Sedikit sebanyak membantu memberi penjelasan bahawa sistem dan konsep negara islam mempunyai alasan yang baik untuk diketengahkan mereka yang memilihnya.

Pandangan politik kedua-dua tokoh ini tidak boleh disangkal lagi. Secara ringkas, topik-topik perbahasan utama di dalam karya-karya tersebut adalah berkisar mengenai aspek-aspek berikut; yakni dengan menekankan betapa pentinganya menegakkan prinsip keadilan (al ‘adl) oleh pemerintah mengikut perintah al-Qur’an dan al-Sunnah; memberi kepentingan mewujudkan kepemimpinan (al-imam) yang adil, beramanah, telus dan bertanggungjawab; menegakkan syari’at Islam yang serba komprehensif; melakukan pelaksanaan prinsip syura bagi menjamin adanya ruang kebebasan bersuara antara kepimpinan dengan rakyat secara timbal balik; memastikan pembelaan warga yang lemah (al-mustad’afin) ; menjaga kedudukan masyarakat bukan Islam (zimmi dan kafir harbi); menjaga kedudukan hukum peperangan dan perdamaian; menjaga hubungan antarabangsa (diplomatik) dan melakukan pelaksanaan sistem percukaian dan lain-lain lagi aspek dalam kehidupan manusia.

Senarai ini sekaligus menjelaskan pendapat politik lengkap bagi keduanya dalam menjelaskan konsep negara islam yang berasaskan syariat dan Al-Quraan serta sunnah.
Apa yang lebih penting ialah konsep yang dijelaskan jelas mempengaruhi pemikiran orang islam itu sendiri selain memperjelaskan pada orang – orang yang bukan islam bahawa keadilan samarata berhak dinikmati bersama tanpa wujud jurang perbezaan walaupun anutan dan fahaman berbeza.


Bibliografi dan rujukan
1.      Imam Al-Mawardi – Al-Ahkam As-Sultaniyyah – Hukum-hukum Penyelenggaraan Negara Dalam Konsep Islam – Terbitan : Darul Falah
2.      Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas, Terbitan Pustaka Imam Asy-Syafie
3.       Abul A’la al-Maududi, Hukum dan Konstitusi Sistem Politik Islam. Kuala Lumpur ; Penerbit Mizan
4.      Ruzman M.Noor -1988/89-, ‘Konsep Negara Islam Menurut al-Maududi; Tinjauan Pengaruhnya Terhadap PAS dan al-Arqam’-Latihan Ilmiah, Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya
5.      Nurainy Achmad Rawi et al -2007- ‘Al-Maududi,’ –Kertas Projek, Fakulti Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya
6.   Laman web Wikipedia.Com – Latar belakang Al-Mawardi dan Al-Maududi 

No comments: