Friday, 21 February 2014

Kepimpinan bukanlah Hierarki yang Diwarisi, Tetapi Tanggungjawab.

Apabila berkata tentang soal kepimpinan, kita secara terus memikirkan perkaitan sesuatu kepimpinan kearah politik, bukan sekadar politik negara, politik  di pejabat tapi termasuklah di rumah juga kita perlu berpolitik demi memenuhi tuntutan dan kehendak ahli keluarga atau mengamalkan satu bentuk diplomasi apabila anak merengek meminta gula-gula dan dalam masa yang sama dia sedang menghadapi masalah gigi yang serius.




"Kepimpinan merupakan satu subjek yang menarik kepada
semua golongan masyarakat. Kepimpinan memberi gambaran
individu yang berkuasa dan dinamik, yang memerintah tentera
atau mengarah empayar korporat. Sejarah manusia penuh dengan
pemimpin tentera, politik, agama dan sosial. Perjuangan pemimpin
yang berani dan bijaksana menjadi intipati legenda dan mitos" - (Mohd Farid: Gaya Kepimpinan.)

Isu Kepimpinan yang ingin saya sentuh pada kali ini sudah tentulah merujuk kepada sebuah organisasi besar dalam sebuah negara yang merupakan pemangkin kepada jatuh bangun negara tersebut. Kebelakangan ini pelbagai soalan diajukan rakan-rakan yang ingin meminta pandangan saya mengenai Kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional selepas PRU 13. Pada saya untuk membuat ulasan ini bukanlah sesuatu yang mudah apabila didalam UMNO sendiri kita terpisah dengan pelbagai golongan. Ada 3 Kategori utama yang boleh saya klasifikasikan disini, Golongan Mewah, Golongan Berkepentingan dan Golongan Maaruf (White).

Kita ketepikan dahulu cerita mengenai Golongan Mewah dan Berkepentingan, kerana kita sendiri sedia maklum bahawa mereka ini siapa dan bersifat yang bagaimana. Kita fokus pada gerakkan Putih atau maaruf yang saya maksudkan. Kebanyakkan mereka ini terdiri dari golongan yang berpegang teguh pada Prinsip Perjuangan sebenar namun bilanganya dilihat semakin menipis apabila golongan berkepentingan memanipulasi keseluruhan hierarki. Hari ini golongan 'Putih' lebih banyak bertumpu kepada kerja-kerja masyarakat dan berdakwah (ahli Ulama UMNO) , malah sebilanganya terpaksa melupakan untuk berada dalam hierarki yang lebih tinggi, apabila merasa diri tertindas akibat Birokrasi dua golongan utama seperti yang saya katakan diatas.

Namun saya salutkan kekaguman saya kepada golongan ini, pergerakkan yang terbatas digunakan mereka sebaiknya untuk meraih perhatian golongan Pembesar yang dilihat semakin hari semakin terlajak dari asas kepintaran dalam membuat sesuatu keputusan-keputusan penting untuk kerajaan malah lebih teruk, rakyat yang berkelulusan tinggi kini mentertawa , memperleceh malah lebih teruk menghina secara terang-terang didalam laman-laman sosial terhadap Pembesar-Pembesar yang membuat keputusan diluar kewarasan. Pergerakan golongan 'Putih' ini sedaya upaya cuba membentuk satu kumpulan yang bersandarkan pada bakat kepimpinan sedia ada, kepintaran semulajadi dan yang paling penting mampu membuat perbezaan diantara pro dan kontra. Golongan ini bebas bersuara didalam laman sosial, membentuk kumpulan tersendiri, mendidik dan memberi kefahaman kepada golongan muda yang menagih perhatian serta pemahaman mengenai isu-isu serta kejadian-kejadian ngeri dalam politik dengan cara mereka sendiri.

Seperti yang kita sedia maklum , proses peralihan sedang berlaku pada zaman ini dimana dalam tempoh 5 tahun, bermula 2012 sehingga 2016 hampir 50 peratus Kakitangan Awam & Swasta menjalani proses perubahan. Golongan yang lahir sekitar tahun 50an sedang diganti dengan golongan yang lahir pada 80an didalam segala pengisian jawatan baru dan lama dan antara sebab utama adalah golongan yang bersara wajib. Maka seterusnya kedudukan mereka ini diisi oleh mereka yang lahir bermula pada 70an sehingga 80an. Manakala kumpulan pertengahan pula (lahir sekitar 60an) sedang memantapkan kedudukan masing-masing di peringkat yang lebih tinggi.

Sejajar dengan proses peralihan ini kita boleh hubungkaitkan dua perkara yang saya sentuh, iaitu proses peralihan kuasa diantara Golongan Muda dan Golongan Veteran dalam politik. Melihat secara serius, proses ini tidak berlaku secara 'sihat' dalam perjalanan politik negara kebelakangan ini. Malah diselitkan lagi dengan permainan kebencian yang disematkan dalam setiap penulisan yang tidak bertanggungjawab dari pihak pembangkang, menambahkan lagi kekeruhan sedia ada. Keseimbangan kuasa itu wujud apabila keputusan Pilihanraya diumumkan dengan Pembangkang menguasai undi popular sekaligus mencetuskan fenomena yang mengikat kuasa kerajaan persekutuan secara kesuluruhanya. Namun secara relevan, fenomena ini disifatkan sebagai tidak sihat apabila pembangkang tidak bertindak secara matang dalam memberikan penyelesaian yang khusus kepada masalah rakyat marhaen.

Perkara ini dirumitkan lagi dengan kewujudan hierarki yang diwarisi dalam perjalanan politik UMNO, sekaligus sedikit sebanyak telah memberikan kekangan kepada golongan professional yang lebih layak dan lebih relevan untuk mewarisi kepimpinan sedia ada. Percaturan yang dibuat hanya dengan satu pandangan, bahawa kepimpinan itu cuma layak diwarisi, bukan diberi atau diterima atas rasa tanggungjawab untuk menggalas tugas dalam memimpin rakyat. Malah ia dirumitkan lagi dengan percaturan di pihak berkecuali bahawa tidak ada apa yang bagus dari pembangkang mahupun kerajaan pemerintah sedia ada. Malah sikap pimpinan yang gemar mengekalkan mereka-mereka yang bermasalah dalam kepipimpinan ditempat masing-masing mahupun dalam jawatan yang diberikan kepada mereka membuatkan peratusan pengundi muda yang masih keliru memberikan 'kemenangan keliru' kepada golongan pembangkang. Perkara ini dianggap seperti barah oleh kumpulan 'Putih' yang sehingga kini bertungkus lumus untuk merawatnya dari merebak dalam kelompok masyarakat yang lebih besar.

Fenomena ini sedikit sebanyak memberikan kesan buruk kepada pembangunan kepimpinan dalam politik sesebuah negara. Malah, golongan muda yang yakin kepada perjuangan UMNO sebagai parti utama untuk orang melayu dilihat semakin memudar setiap hari. Ada diantaranya kecewa sehingga bertindak menjauhkan diri dari tanggungjawab sosial mereka dalam mendidik masyarakat yang memiliki taraf pemikiran yang rendah agar lebih memahami kepentingan perjalanan politik negara dengan cara lebih relevan untuk masa yang mendatang. Mereka bertidak untuk mendiamkan diri, malah lebih buruk, melarikan diri dari perjuangan asal yang disangka mampu membantu pergerakkan masa depan negara.

Kekecewaan ini sebenarnya memberikan impak buruk kepada perjalanan politik itu sendiri, sekaligus membunuh perjalanan sihat dalam mewariskan kepimpinan baru. Saya tertarik dengan isu Kroni yang dibangkitkan sesetengah orang dimana, kita dapat melihat, didikan kepimpinan hanya diberikan kepada mereka-mereka yang cuma tahu mengangguk dalam setiap hal dan perkara , dan ini menyebabkan kita kekurangan golongan ke empat iaitu mereka yang berfikir di luar kotak (Think Outside the Box). Kreativiti yang tidak wujud dalam sesebuah organisasi itu sebenarnya merupakan satu bentuk kepupusan daya berfikir dikalangan golongan muda dalam organisasi tersebut. Tidak ramai yang faham bahawa apabila memiliki kepimpinan yang ideal, ia datang sebagai tanggungjawab yang besar untuk mengemudi masyarakat menjadi lebih baik dihari yang mendatang, terutama masyarakat melayu yang masih banyak ketinggalan berbanding kaum cina di Malaysia.

Apabila sudut kepimpinan itu dipandang secara sempit hanya layak diwariskan kepada golongan-golongan tertentu sahaja, ia lebih merumitkan keadaan, perkara ini menyebabkan golongan-golongan muda merasakan diri mereka tidak diberi perhatian serius sekaligus diabaikan dalam pembangunan sosial sesebuah negara. Benar, kerajaan banyak mencetuskan idea dalam pembangunan belia, malah diwujudkan program-program yang mampu membentuk kepipimpinan belia dimasa-masa yang mendatang, namun hakikat sebenar, hampir 50 peratus golongan belia tidak mendapat manfaatnya serta terpinggir. Perkara ini sekadar hangat di peringkat atasan dan apabila mencecah ke peringkat bawahan perlaksanaan itu tidak dilaksanakan secara serius kerana mereka yang diberi tanggungjawab mengendalikanya mengambil sikap sambil lewa malah mengabaikanya. Peruntukan yang diberi diseleweng, malah lebih teruk, tidak sampai langsung kepada golongan sasaran.

Pendapat dan perdebatan yang berlangsung hampir setiap hari pula tidak pernah memberikan penjelasan yang spesifik kepada sesuatu isu yang diketengahkan. Malah golongan muda semakin muak dengan karenah birokrasi yang terlalu tinggi serta 'memilih bulu' dalam setiap perkara yang disalurkan kerajaan. Kerumitan ini sudahpun mencapai tahap buruk apabila survey yang dijalankan tidak langsung memihak kepada kerajaan pemerintah, mahupun pembangkang. Seterusnya mereka sendiri yang meminggirkan pergerakkan politik dalam menjadi buah catur dalam kehidupan mereka dan mencetuskan pergerakkan sendiri tanpa ada panduan yang baik dan kebanyakkanya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kepimpinan adalah sesuatu yang dibuat secara bersama, bukanlah dibuat atas arahan semata-mata , malah paksi Kepimpinan itu sendiri adalah keberkesanan sesuatu organisasi itu memberi input yang baik kepada mereka yang menjadi ahli-ahlinya. Efektifnya sesebuah organisasi itu adalah dengan melakukan perkara dengan betul bagi mencapai matlamat sesebuah organisasi itu untuk kebaikkan kepada semua orang yang bernaung dibawahnya. Golongan 'Putih' pula terpaksa melalui saat sukar untuk berada di tempat mereka sekarang dalam menggalas tugas yang berat, yakni 'memalsukan' perkara bahawa organisasi yang dinaungi masih mengekalkan Visi dan Misi asal bagi memastikan Golongan Baru tidak meminggirkan diri selepas menyertainya.

Tanggungjawab itu mudah disebut, mudah dicanang tapi sejauh manakah kemampuan kita semua melaksanakanya. Sebagai contoh yang paling mudah, Najib Razak terpaksa memegang banyak portfolio dalam kerajaan dalam pembahagian dana termasuk tanggungjawab sosial kerana apabila beliau memberi arahan, perlaksanaan itu tidak sampai kepada golongan sasaran. Persoalan utama sekarang, tanggungjawab yang diberikan tidak dijalankan dengan baik, namun mereka ini masih memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan?

Jumpa lagi di bahagian kedua.

No comments: