Thursday, 22 May 2014

Penjelasan Panda - Nilai persahabatan Malaysia-China

Signifikan hubungan diplomatik Malaysia - China

Ramai yang mempertikaikan apakah signifikan Malaysia menerima dua ekor panda gergasi (Fu Wa & Feng Yi) dan perlu menanggung kos yang tinggi.  Umum sedia maklum bahawa ianya adalah sebahagian daripada meraikan Program Perjanjian Kerjasama Konsensus Panda Gergasi antara Malaysia - China pada tahun 2012 dan usaha menyokong langkah konservasi haiwan sedunia, ianya juga melambangkan keakraban dan penghargaan dua negara menjalinkan hubungan diplomatik selama 40 tahun dan kerjasama erat dalam pelbagai perkara.

Hubungan Malaysia - China bermula apabila China mengutus rombongan pertama ke Malaysia pada bulan Ogos 1971 dan telah mengubah pendirian lamanya dan mengiktiraf kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. Dalam perhimpunan agung PBB Oktober 1971, Malaysia menyokong pemulihan kerusi Republik Rakyat China di PBB. Pada 28 Mei - 2 Jun 1974 adalah tarikh signifikan Malaysia - China apabila, Zhou Enlai (Perdana Menteri China) dan Tun Abdul Razak (Perdana Malaysia) menandatangani Pengumuman Bersama Penjalinan Hubungan Diplomatik China-Malaysia pada 31 Mei 1974. Sejak 1985 terdapat 10 perjanjian persefahaman (MOU) dalam bidang ekonomi, pendidikan, teknologi sains dan sukan. Malaysia adalah antara 10 pelabur terbesar di China manakala China kini rakan perdagangan terbesar Malaysia dan pasaran eksport terbesar mencatatkan perkongsian eksport sebanyak 14.3% berbanding Amerika iaitu 8% dan Eropah 9% .  Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah RM 121 Billion pada 2014 (di antaranya nilai eksport Malaysia ke China lebih besar daripada nilai eksport China ke Malaysia).

Oleh demikian, dua panda gergasi adalah simbolik dan nilai persahabatan yang tidak ternilai diantara dua negara. Panda tersebut hanyalah dipinjamkan selama 10 tahun, sekiranya berlaku apa-apa perkara yang buruk atau menyebabkan kematian sudah tentu ianya juga memberi gambaran yang tidak baik kepada Negara. Maka kos yang ditanggung adalah usaha untuk menunjukkan keseriusan Negara dalam menghargai perhubungan yang dijalinkan. Kalau dulu, China menghantar Puteri Hang Li Po sebagai tanda diplomatik tetapi tidak dipinjamkan, malah berkahwin dengan Sultan Mansur Syah.Namun itu dahulu, kini zaman moden, mungkin kaedah simbol diplomatik juga berbeza.

Semoga perkongsian ini membuka pemahaman dan peneriman rakan-rakan yang lain.

-Hafiz Ariffin

No comments: