Monday, 9 May 2016

Kuasa dan Kekuasaan


Saya tertarik apabila membaca blog Che Det (Tun Mahathir) yang berbicara tentang pengasingan kuasa yang lazimnya diamalkan oleh negara yang mengamalkan sistem demokrasi termasuk Malaysia, kita mengetahui tentang pembahagian ketiga-tiga doktrin tersebut yang mewakili 3 badan berasingan yang terdiri dari Badan Eksekutif, Badan Legislatif (Perundangan) dan Badan Kehakiman.

Tujuan pelaksanaan sistem ini adalah bertujuan bagi mengurangkan penyalahgunaan kuasa dikalangan ahli kabinet yang menduduki kerusi tertinggi dalam Badan Eksekutif, (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) selain itu ia juga membolehkan sesuatu badan itu bertindak tanpa dipengaruhi kuasa dari badan yang lain, dimana kesemuanya adalah berkecuali diantara satu sama lain, dalam melicinkan pentadbiran sesebuah negara.

Terdapat beberapa percanggahan mengenai Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia yang telah diubah sedikit dari teori asalnya. Malaysia sebenarnya mengamalkan doktrin ini secara relatif diantara ketiga-tiga badan yang berbeza dimana YDP Agong yang mempunyai kuasa tertinggi keatas ketiganya namun berpaksikan kepada Perdana Menteri serta jemaah kabinetnya yang melaksanakan fungsi eksekutif sebagai ahli kaukus penggubal undang-undang.

Menurut apa yang telah dilampirkan oleh beberapa tokoh ahli sains politik yang terdahulu, kerajaan yang sah itu akan terwujud melalui sistem demokrasi seperti pilihanraya, dimana kerajaan itu sendiri ditubuhkan berdasarkan mandat yang telah diberi oleh rakyat.  Maka secara automatiknya kumpulan pemerintah ini telah diberikan tugas untuk mengemudi pengurusan dan pentadbiran didalam sesebuah negara bagi memastikan negaranya teratur dan berada dalam keadaan baik

Ketidakstabilan politik serta ekonomi dunia pada hari ini sebenarnya telah merencatkan perjalanan beberapa negara di dalam memastikan kelancaran dalam pentadbiran negaranya kekal utuh, sebagai contoh krisis ekonomi Negara Greece yang menyaksikan bagaimana kerajaan negara tersebut telah bertindak mengedarkan satu bentuk referendum yang membawa kepada pemansuhan skim pencen, pemansuhan perbelanjaan sektor awam dan pemansuhan kawalan pasaran buruh sebagai syarat pemulihan ekonominya yang teruk merudum, namun dalam masa yang sama jalan penyelesaian yang telah dipilih oleh Greece dengan meminjam melalui IMF sendiri telah merencatkan kuasa pengurusan ke atas ekonomi dan negaranya sendiri. Faktor ini berlaku apabila tangan ‘tangan ghaib’ melalui IMF itu sendiri telah dengan secara sendirinya menjerut leher pemimpin Greece tanpa disedari melalui pinjaman besar yang telah diberi.

Hal yang dikaitkan diatas ini sebenarnya adalah satu petunjuk mudah diantara mereka yang benar-benar tahu menggunakan kuasa yang diberikan dalam apa jua bentuk pentadbiran namun ‘dilacurkan’ dan menyebabkan rakyat yang menanggung  kesan diatas segala tindak tanduk badan eksekutif itu sendiri. Kemelut yang dihadapi seterusnya ialah melibatkan pengambilan keputusan yang tidak wajar dalam menganggu tindak tanduk badan yang berasingan, yang lain. Sebagai contoh, di Indonesia, terdapat beberapa perkara yang menyatakan sekiranya seseorang presiden itu melakukan kesalahan seperti pelanggaran ke atas perlembagaan, pengkhianatan ke atas negara dan terlibat dengan masalah jenayah, maka terdapatnya akta di dalam sistem Presiden yang membenarkan , untuk seorang presiden itu digugurkan serta-merta. Disini kita boleh melihat betapa kuatnya kuasa yang ada pada rakyat dalam negara demokrasi bagi menentukan jatuh bangun sesebuah parti pemerintah, atau pemimpin itu sendiri, namun mestilah berpaksikan kepada undang-undang dan bukan secara ‘barbaric’.  (Arab Spring)

Kisah mengenai bagaimana Presiden Soekarno dijatuhkan kerana peristiwa G-30 yang melibatkan pertumpahan darah, hanya bermula dengan gerakkan 200 mahasiswa yang berarak meminta Presiden untuk berundur bagi memastikan dirinya di adili secara saksama. Pada dasarnya , Soekarno enggan menurut, namun desakan yang diterima serta pembuktian pelanggaran perlembagaan Indonesia dan tekanan yang diberikan oleh barisan kabinet yang tidak mahu bersekongkol, telah mengubah sejarah Indonesia sekaligus beliau digantikan dengan Pak Harto (Jeneral Soeharto) melalui pilihanraya yang dibuat lebih awal dari tarikh sewajarnya.

Maka apa yang boleh kita rangkumkan di sini, sebenarnya disebalik cermin perlembagaan itu adalah merupakan kuasa rakyat yang kadangkala sering dinafikan untuk kepentingan sesetengah individu lain. Walaupun Seokarno sendiri telah mencipta satu bentuk demokrasi yang digelar sebagai ‘Demokrasi Terpimpin’, idea itu tidak langsung memberi kesan terhadap kemarahan Indonesia. Sebenarnya dalam isu ini satu bentuk resolusi sewajarnya mampu untuk membawa suara rakyat dalam menyuarakan pendapat, dengan mengikut hukum, ‘to do or not to do’.

 Tidak sekalipun digalakkan untuk melakukan kekerasan dalam mencari sebuah penyelesaian, satu tunjang kuasa itu sebenarnya mampu dipimpin oleh sesiapa sahaja dikalangan rakyat. Perubahan sejarah dunia terutama di zaman gelap Eropah yang mana hampir kesemuanya adalah dibawa oleh rakyat biasa yang cuma mewakili kumpulan-kumpulan tertentu. Benar, kadangkala bukan semua perubahan itu adalah tepat, tapi adakalanya perubahan itu merupakan satu permulaan.

Azfarinaz Amran

*Cuma sekadar berkongsi pendapat mengenai politik semasa dan sebelumnya. Pendapat peribadi penulis semata-mata, terpulang bagaimana anda menilainya*

No comments: